Tuesday, May 11, 2010

" MELAYU BANGKIT '' HARUS DITIDURKAN

Institut Integriti Malaysia (IIM) Terengganu dan Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) yang akan menganjurkan perhimpunan yang bertema ‘Melayu Bangkit’ pada Khamis, 13 Mei ini di Stadium Tertutup Kompleks Sukan, Kuala Terengganu bagi memperingati peristiwa hitam negara pada 13 Mei 1969 sangat dikesalkan.

Sepatutnya setiap pertubuhan dan individu memain peranan "penyatu" iaitu berusaha ke arah kesejahteraan rakyat dengan membawa konsep perpaduan di bawah satu bumbung dan tidak bercanggah dengan konsep 1Malaysia yang dicanangkan PM, Najib Tun Razak.

Mengimbau perisiwa hitam yang menconteng sejarah negara yang mana ratusan jiwa kecundang dek keserakahan nafsu untuk terus memerintah tidak menguntungkan negara. Malah ia merupakan suatu langkah ke belakang. Walhal negara sepatutnya dibawa ke hadapan bagi menghadapi cabaran global yang mencengkam.

Penganjuran tersebut tidak akan menguntungkan sesiapapun hatta orang Melayu. Apakah laba yang dapat dipungut dari penganjuran tersebut selain menghasilkan perasan kecurigaan antara kaum? Akan majukah Melayu dengan memperingati peristiwa tersebut?

Keterlibatan mantan PM dalam majlis tersebut dan 'keterlibatannya' dalam peristiwa hitam tersebut pada 1969 dulu akan hanya membangkitkan lagi rasa kebencian rakyat terhadap beliau. Sepatutnya sebagai seorang negarawan yang dihormati, beliau menjauhkan diri dari upacara tersebut. Keterlibatan beliau dengan Perkasa juga telah mencalar imejnya yang sememangnya tercalar setelah berlaku kemelut semasa pemerintahannya yang menjadi suatu rekod negara.

Rakyat tidak boleh dipersalahkan jika timbul anggapan bahawa segala "busung" yang dihadapi negara adalah berpunca dari mantan PM. Kerakusan rasuah, kecelaruan kehakiman dan kebobrokan politik hari ini berpunca dari beliau walaupun seribu kali cuba dinafikan.

Maka adalah wajar perhimpunan yang dijadualkan itu dimatikan begitu saja supaya negara dapat terus mara dengan lebih sejahtera. Biarkanlah peristiwa hitam tersebut berlalu sebagai satu sempadan dan bukan teladan.

No comments: