Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu rakyat lebih bersikap adil terhadap polis dan tidak berterusan membuat andaian buruk terhadap pasukan berkenaan.
Beliau berkata isu terbaru melibatkan kejadian tembak seorang remaja, Aminulrasyid Amzah,15, Isnin lepas tidaklah perlu diulas secara keterlaluan sehingga menimbulkan pelbagai prejudis terhadap pasukan polis.
"Satu panel memantau siasatan polis terhadap kes itu akan dibuat, saya beri jaminan lantikan itu nanti akan pertimbangkan mereka yang benar-benar bebas, kita simpati terhadap apa yang berlaku, dalam masa yang sama ianya perlulah melalui proses keadilan," katanya.
Beliau yang juga naib presiden Umno memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan mesyuarat serentak 30 cawangan Umno bahagian Cameron Highlands, di Sungai Koyan, dekat Raub hari ini.
Hishamuddin berharap menerusi lantikan panel itu kelak, ianya akan dapat memantau siasatan yang dilakukan berhubung kes berkenaan bagi menegakkan apa juga keadilan.
Beliau beharap semua pihak menunggu hasil siasatan itu dan tidak berterusan membuat andaian, spekulasi atau mempolitikkan isu berkenaan.
Hishammuddin turut mempertikaikan sikap sesetengah pihak yang seringkali membuat kenyataan yang langsung dilihat tidak pernah memihak kepada pasukan polis.
"Dalam konteks orang awam ditembak, rakyat marah, tapi kita tidak lihat reaksi yang sama apabila terdapat anggota polis yang ditembak, orang ramai seperti tidak memberi simpati. Apakah ada beza nyawa orang awam dengan nyawa anggota polis?" katanya.
Mengulas mengenai kejadian seorang pengawal keselamatan keluarga Diraja Kelantan cedera parah selepas ditembak di dada oleh individu tidak dikenali di Kampung Sungai Nyior, Palekbang, Tumpat, tengah malam tadi, Hishamuddin berkata pihak polis masih menyiasat kes itu.
"Saya belum dapat laporan berkenaan, polis mengambil serius kejadian itu," katanya.
Hishammuddin juga enggan mengulas ketika ditanya kejadian itu berkaitan dengan krisis istana yang sedang berlaku di Kelantan.
Dalam kejadian 12.25 tengah malam itu, Ramli Mohamad, 50, ditembak empat das oleh empat lelaki yang menaiki dua buah motosikal ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Tumpat dengan menaiki motosikal seorang diri.
- Bernama
SUARA HATIKU:
Sebagaimana dikehendaki menteri, begitu juga kehendak rakyat. Rakyat juga mahu polis berlaku adil terhadap rakyat.
Adilkah polis apabila menembak dan membunuh rakyat hanya kerana disyak saja? Bukankah tugas polis apabila bertembung dengan sesuatu situasi harus berusaha menangkap dan menghadapkan tertuduh ke mahkamah? Siapa yang mempiuyai kuasa menghukum, polis atau mahkamah?
Adilkah polis membuat tuduhan tanpa bukti hanya atas andaian semata-mata? Konon ada jumpa senjata paranglah, kapaklah atau pistollah. Walhal yang dikatakan senjata itu entah datang dari mana-mana. Apakah pihak polis sendiri tidak boleh menanam bukti sebagai senjata untuk melepaskan diri dari tersalah langkahnya?
Adilkah polis apabila dibuat aduan oleh rakyat yang bukan pro UMNO akan sesuatu keterlanggaran undang-undang oleh pihak tertentu yang berkuasa terus disejukbekukan?
Adilkah polis? Adilkah polis? Adilkah polis?
No comments:
Post a Comment