KPN: Jangan Pertikai Tugas Polis - Demikianlah tajuk berita Bernama. Dan memangpun tiada sesiapa yang mempertikai tugas polis. Yang menjadi pertikaian ialah apabila pihak polis bertindak diluar batas kepolisan dalam menjalankan undang-undang. Tidak ada masalah jika polis mengikut piawai yang ditetapkan semasa menjalankan tugas. Tapi kalau polis sudah menjadi "trigger happy"apakah rakyat harus diam?
Nah, mengugut untuk menarik balik pasukan polis yang bertugas kalau itu yang "dikehendaki orang ramai" adalah suatu perbuatan yang tidak seharusnya terbit dari seorang ketua polis negara. Orang ramai memang menaruh harapan yang tinggi kepada pasukan polis untuk menjaga ketenteraman awam. Dan dalam pada itu, dalam pasukan polis tidaklah semua anggotanya taat setia dan terikat dengan prosedur-prosedur kepolisan sepenuh masa dan senantiasa. Sebagaimana tak semua jari-jari tangan kita sama panjang, maka dalam pasukan polis juga tidaklah semuanya malaikat belaka. Mereka manusia seperti manusia-manusia lain juga. Mereka bukan wali-wali atau rasul-rasul yang maksum. Mereka berkemungkinan melanggar 'pantang larang tugasan'. Itu suatu hakikat yang harus diterima semua orang termasuk KPN sendiri.

Apakah polis mahu orang awam telan bulat-bulat semua "cereka" dan rekayasa polis yang mencari helah untuk mempertahankan diri? Orang awam hanya menuntut keadilan dan tak lebih dari itu. Kalau menteri menyeru oarang ramai supaya berlaku adil kepada polis, begitu juga orang ramai mahu polis berlaku adil kepada orang ramai.
Ada beberapa kes yang belum diselesaikan berhubung dengan tindakan polis yang pada mata orang ramai merupakan tindakan berlebuhan pihak polis. Rakyat dahagakan keadilan. Bagaimana nasib mereka?
Apakah keadilan hanya khusus untuk polis sahaja?