Shafie: Anwar berhubungan baik dengan Barat
Apr 18, 10 8:14am
Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya tidak banyak bercakap mengenai Apco Worldwide, syarikat perundingan perhubungan komunikasi antarabangsa yang kononnya milik Israel sedangkan beliau sendiri mendapat sokongan kuat dari Barat dan mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin di dunia sebelah sana.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pembangkang yang diketuai Anwar benar-benar sudah ketandusan isu terutama menjelangnya pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini.
"Bukan dia tak tahu kita memperjuangkan orang Islam di Bosnia, orang Islam di Palestin. Siapa yang ada hubungan dengan kuasa barat ini pasal yang bersuara bila kes Anwar timbul ialah 50 orang senator dari Australia (membela Anwar)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan cawangan Umno dalam Bahagian Jempol dan Taklimat Pindaan Perlembagaan 2009 di Jempol, semalam.
"Kita sendiri haramkan lawatan pimpinan Israel dari dahulu sebaliknya kita jemput pemimpin Palestin, Yasser Arafat ke sini," katanya.
Di pentas antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Malaysia turut lantang membela dan memperjuangkan nasib orang Palestin, katanya.
Pembangkang sejak kebelakangan ini mula mengaitkan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan rejim zionis melalui syarikat Apco Worldwide dan menyamakan konsep 1Malaysia dengan One Israel.
Sementara itu, Shafie menafikan bahawa calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor daripada MIC P. Kamalanathan ditentukan oleh Umno.
Katanya, walaupun MIC dilihat lemah selepas kalah teruk pada pilihan raya umum lalu tetapi BN termasuk Umno akan sentiasa bersama dengan rakan komponen lain sama ada ketika mereka lemah mahupun kuat.
"Kita pilih anak tempatan di situ, yang dirasai BN begitu bersesuaian, yang mempunyai keupayaan dan kebolehan dan kita yakin ia seorang yang mudah dan boleh mendampingi masyarakat," katanya.
- Bernama
Suara Hatiku: Apalah merapu si menteri ni. Kalau tak cakap lebih bijak, tapi kalau dah cakap macam budak tadika sajalah.
Berhubungan baik dengan barat ke timur ke tentulah baik bagi negara tapi berhubung dengan 'musuh' boleh membawa padah pada negara. Berhubungan dan berintim dengan zionis boleh memusnahkan negara. APCO tu adalah syarikat pegangan zionis, bukan setakat Yahudi saja. Apa nak nafikan kalau semua bukti hitam putih tak dapat disanggah kerajaan BN?
Siapakah pengkhianat negara? Ambil musuh masuk ke dalam selimut masih nak kata betul? Konon perjuangkan Palestin tapi berintim dengan zionis secara sembunyi-sembunyi. Tak sokong Hamas tapi sokong Fatah yang ditolak rakyat Palestin. Sokong Amerika nak pekena Iran. Apa itu sikap negara Islam?
Sudahlah Shafie, politik macam budak-budak hingusan.